Selamat Datang Ke Blog BERITA UNTUK WARGA PENDIDIK. Terima Kasih Di atas Sokongan Anda. Selamat Tahun Baru Cina.

Kepentingan bahasa Inggeris

Friday, November 28, 2008

Jika seseorang tidak fasih berbahasa Inggeris maka peluangnya untuk mendapatkan pekerjaan adalah tipis.

SEJAK dilaksanakan penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik (PPSMI), pada tahun 2003, terdapat segelintir pihak meluahkan rasa tidak puas hati. Malah, ada yang menyarankan supaya ia diberhentikan segera. Mereka berharap supaya murid sekolah rendah dan pelajar menengah kembali menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Kebanyakan kelompok pejuang bangsa dan budaya beranggapan dengan berlangsungnya sesi pembelajaran PPSMI dalam bahasa Inggeris, ia mampu membunuh bahasa ibunda kita iaitu bahasa Melayu. Tidak kurang juga yang mencanangkan dengan terlaksananya sistem ini maka generasi muda terutamanya pelajar sekolah akan melupakan bahasa Melayu dan terus-menerus mengagung-agungkan bahasa Inggeris.

Menyentuh isu ini, pelajar Malaysia di Australia, Nur Fatimah Mohamad Radzi, 26, berpendapat seharusnya pendedahan bahasa Inggeris perlu dimulakan sejak tadika lagi. Ia sebagai persediaan kepada pelajar sebelum melangkah ke sekolah rendah supaya mereka tidak termangu-mangu apabila mempelajari subjek yang menggunakan bahasa Inggeris.

Apabila inisiatif ini diteruskan maka prestasi dan proses pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dapat dikekalkan sehingga ke sekolah menengah dan peringkat universiti. Lagipun di universiti tempatan atau antarabangsa, kebanyakan buku penyelidikan dan jurnal ditulis di dalam bahasa Inggeris.

"Bagi individu yang merasakan sistem ini membunuh bahasa Melayu, saya pula sebaliknya. Mungkin ada baik dan buruknya apabila kita menggunakan bahasa Inggeris. Bagi para pelajar di bandar, mereka mungkin tidak menghadapi masalah kerana sudah banyak pendedahan yang diperoleh. Tetapi, bagi pelajar di luar bandar yang sentiasa menggunakan bahasa Melayu, mereka mungkin berasa berat untuk menerimanya.

"Namun begitu, jangan pula masalah ini dijadikan alasan untuk kita memberhentikan PPSMI. Mungkin ia dapat diatasi sekiranya pihak Kementerian Pelajaran menghantar kumpulan guru terbaik dan profesional di sekolah luar bandar dan pedalaman," jelasnya yang bersyukur didedahkan dengan penggunaan bahasa Inggeris dalam semua subjek ketika menuntut di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam.

Kesannya itu, beliau layak melanjutkan pelajaran ke University of Adelaide, Australia dalam Program Kejuruteraan Sistem Komputer dan tidak berasa gentar dikelilingi oleh pelajar asing dari seluruh dunia.

"Bahasa Inggeris banyak membantu dan memudahkan status saya sebagai pelajar. Walaupun banyak menggunakan bahasa Inggeris, saya tetap berbahasa Melayu," ujar siswi berusia 26 tahun ini.

Sementara itu, mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir Mohamad menyarankan supaya pelajar tidak menganggap penggunaan bahasa Inggeris sebagai beban. Sebaliknya, beliau menyarankan supaya ia diterima dengan gembira kerana ia merupakan jalan kepada ilmu-ilmu yang lain.

Apa yang dilakukan oleh kementerian bukan untuk menyusahkan tetapi untuk memudahkan pelajar apabila meningkat dewasa kelak. Tidak bermakna mempelajari bahasa Inggeris maka kita memperlekehkan bahasa Melayu. Hakikatnya, kita tidak mampu untuk memperoleh ilmu baru memandangkan banyak koleksi buku, kertas penyelidikan dan jurnal ditulis di dalam bahasa Inggeris.

"Bayangkan bagaimana kita ingin memahami dan membaca jurnal bahasa Inggeris, sedangkan kita tidak boleh berbahasa Inggeris. Tidakkah ini merugikan diri dan negara? Cuba fikirkan, alangkah baiknya sekiranya kita fasih dan memahami bahasa Inggeris. Dengannya, kita berpeluang membelek buku yang menawarkan pelbagai bahan.

"Bukan itu sahaja, apabila masyarakat mampu menguasai dua bahasa (bahasa Melayu dan bahasa Inggeris), mungkin kita dapat menjadi penterjemah. Impaknya, banyak buku dan jurnal penyelidikan Sains dan sebagainya dapat dialih ke bahasa Melayu," tambah Tun Mahathir.
Beliau turut berkata, orang Melayu tidak akan berkurangan apabila mempelajari Matematik atau Sains di dalam bahasa Inggeris. Sebaliknya, ia dapat melahirkan kaum Melayu Malaysia yang berpengetahuan.

Selain itu, Tun Mahathir turut meluahkan pendapat iaitu jika seseorang tidak fasih berbahasa Inggeris maka peluangnya untuk mendapatkan pekerjaan adalah tipis.
Lagipun kerajaan Malaysia sememangnya memerlukan rakyat yang bijak dalam bahasa Inggeris.

"Masyarakat luar (antarabangsa pasti tidak mahu menjalin kerjasama kerana mereka tidak memahami bahasa Melayu," kata Tun Mahathir ketika melancarkan Program Sekolah Angkat Universiti of Teesside bersama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki.
Mengenai program sekolah angkat ini, ia adalah usaha mewujudkan permuafakatan dan hubungan persepakatan antara SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur dan Universiti of Teesside di United Kingdom.

Para pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) berpeluang mendapat manfaat secara langsung daripada permuafakatan dan hubungan persepakatan ini terutamanya dalam bidang-bidang yang tidak ditawarkan di universiti awam dan swasta tempatan.

Pada masa yang sama, para pelajar berpeluang meningkatkan pelbagai keterampilan dalam penguasaan bahasa Inggeris.

Sementara itu, warga sekolah lain akan mendapat manfaat secara tidak langsung iaitu pemahaman yang mendalam tentang persekitaran antarabangsa melalui peluang meningkatkan profesionalisme khususnya guru-guru.

Menurut pengetua sekolah, Latifah Mahfod, program sekolah angkat ini boleh menjadi platform dalam mencapai matlamat misi menjadikan SMK Aminuddin Baki sebagai sekolah kluster bertaraf dunia menjelang 2012.

"Kami gembira dengan kerjasama yang dijalinkan kerana Universiti Teesside merupakan institusi yang dinamik di United Kingdom. Ia menduduki tempat keempat di UK dalam menawarkan bidang kejururawatan, seni reka dan perundangan," kata Latifah lagi.
Pengarah Wilayah Asia Tenggara Universiti Teesside, Irene Teng, pula berkata, beliau berharap program ini dapat membakar semangat para pelajar SMK Aminuddin Baki untuk belajar bersungguh-sungguh sekali gus layak menempatkan diri di universiti tersebut.

Sumber: Kosmo Online

0 comments:

About This Blog

Blog ini merupakan himpunan berita, pendapat dan komen berkenaan dunia pendidikan yang diperolehi daripada pelbagai sumber samada yang diperolehi secara langsung atau secara tidak langsung. Ketelusan dalam bahan yang diperolehi adalah menjadi teras kepada blog ini. Blog ini mungkin menjadi bahan rujukan kepada pihak yang ada kaitan dengan bidang pendidikan samada guru, pelajar, ibubapa dan sebagainya.

Recent Posts

Recent Comments

  © Blogger template Newspaper by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP