Selamat Datang Ke Blog BERITA UNTUK WARGA PENDIDIK. Terima Kasih Di atas Sokongan Anda. Tan Sri Muhyiddin Yassin Di Lantik Sebagai Menteri Pelajaran Baru.

Pengetua, guru besar diberi kuasa pecat guru

Wednesday, December 9, 2009

KUALA LUMPUR - Pengetua atau guru besar mungkin diberi kuasa untuk mengambil dan memecat guru di sekolah mereka pada masa depan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi ketika memberitahu Dewan Rakyat semalam berkata, perkara itu akan dipertimbangkan dalam usaha kementerian untuk merevolusikan sistem pendidikan negara.

Selain itu, kementerian turut mewujudkan ba'iah baru untuk membawa perubahan yang dapat memberi kecemerlangan kepada sekolah-sekolah.

"Sekiranya pengetua atau guru besar 'perform', beliau akan mendapat ganjaran, tidak semestinya dalam bentuk kenaikan pangkat atau gaji. Ganjaran itu bergantung kepada kegigihan pengetua atau guru besar berkenaan dalam melakukan perubahan di sekolah mereka.

"Kemungkinan suatu hari nanti mereka boleh lakukan hire and fire. Mereka dapat menentukan siapa atau guru mana yang berdedikasi untuk membantu mereka menjadikan sekolah mereka sekolah cemerlang," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pelajaran di Parlimen.

KO

Read more...

Erti sebenar guru cemerlang

Saturday, December 5, 2009

SAYA merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, yang menyarankan agar guru-guru menerima sahaja tugasan yang diberi kerana ia akan membentuk sikap bertanggungjawab dan dedikasi kepada tugas sebagai pendidik.

Sebagai guru, saya percaya semua guru bersetuju dengan pandangan beliau. Pendedahan kepada pelbagai bidang tugas memang satu nilai tambah kepada modal insan guru.

Namun begitu, saya berpendapat, sebagai Ketua Pengarah Pelajaran, beliau patut sudah mengetahui tentang bebanan tugas guru yang sudah menyebabkan hampir 80 peratus guru hilang fokus, masa dan tenaga yang sepatutnya ditumpukan kepada tugasan sebenar, iaitu mengajar di dalam kelas. Perkara ini jika berlarutan, kalau ditambah bilangan guru 10 kali ganda pun, tapi kalau semuanya hendak buat kerja pentadbiran, memang tidak berubah keadaan sekolah-sekolah kita.

Inilah yang menimbulkan rungutan guru-guru. Apabila proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) terganggu, murid ketinggalan dalam akademik dan menimbulkan masalah disiplin. Kemudian ibu bapa pula merungut. Padahal sebagai guru, kita sudah melakukan apa yang termampu dengan masa dan tenaga yang terhad.

Tugas perkeranian ini bukan sahaja sudah menyebabkan tumpuan kepada bidang akademik terganggu, malah ia telah mengelabui mata para pentadbir dalam bidang pendidikan juga, bermula dari pentadbir sekolah, sehinggalah ke peringkat jabatan pelajaran negeri-negeri.

Malah, pada pendapat saya, pelantikan Ketua Pengarah Pelajaran dari kalangan guru yang merupakan orang akademik (yang akhirnya terpaksa duduk di pejabat membuat tugasan pentadbiran) ialah bukti bagaimana fokus kepada akademik telah dilonggarkan, kerana tuntutan kerja-kerja pentadbiran. Bayangkanlah kalau seseorang pada tahap kematangan dan pengalaman yang ada pada Alimuddin, duduk di dalam kelas untuk mengajar. Beliau barangkali boleh menghasilkan beratus-ratus lagi anak bangsa yang bakal menyumbang kepada negara. Tapi akhirnya beliau diletakkan di pejabat.

Kenapa tidak kita berikan kerja pentadbiran kepada orang pentadbiran, dan kita orang akademik, buatlah kerja akademik. Kenapa guru yang sudah berpengalaman bertahun-tahun akhirnya disuruh membuat kerja pentadbiran? Bukankah pengalaman dan pengetahuan mereka boleh membantu lebih ramai murid menjadi cemerlang? Adakah menjadi orang akademik terhebat masih rendah tarafnya berbanding orang pentadbiran yang duduk di pejabat?

Lihatlah bagaimana pemberian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, prestasi melintang (sudah tidak akan diamalkan lagi) pelantikan guru pakar, guru bestari dan guru cemerlang. Adakah mereka yang diberi semua penghargaan ini dilantik di kalangan guru yang anak murid mereka menunjukkan peningkatan prestasi akademik? Tidak!

Kebanyakan penerima anugerah dan pentadbir-pentadbir sekolah, pejabat pelajaran daerah dan jabatan pelajaran negeri dilantik di kalangan orang yang menonjol di bidang pentadbiran semata-mata. Sebab itulah kita lihat masih ada murid yang gagal subjek-subjek tertentu walaupun diajar oleh guru pakar, guru cemerlang dan guru bestari. Ini kerana yang ‘bestari’, ‘cemerlang’ dan ‘pakar’ ialah kerja pentadbiran guru itu, bukan teknik P&Pnya. Sekarang ini dengan peperiksaan PTK, guru yang malas masuk kelas pun boleh dapat kenaikan gaji dan pangkat.

Malah, saya sendiri pernah melihat seorang guru yang sangat konsisten. Guru ini setiap tahun (selama hampir 18 tahun) mencatatkan peratus lulus subjek Sains melebihi 95 peratus di semua kelas yang diajarnya, walau pun saban tahun mendapat kelas paling hujung, walaupun mengajar murid yang buta huruf, walaupun format peperiksaan kerap bertukar.

Beratus-ratus muridnya daripada tidak mengenal huruf, akhirnya mendapat A dalam subjek Sains SPM. Tetapi guru ini tidak pernah diberi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, hanya kerana guru ini tidak mempunyai hubungan baik dengan pentadbir sekolah yang hanya mementingkan kerja pentadbiran. Guru ini pula memang menolak kerja pentadbiran kerana kerja pentadbiran akan menyebabkan dia mengabaikan murid-muridnya, sesuatu yang guru ini enggan lakukan.

Bagi saya, sekalipun guru ini dilihat ‘melawan ketua’, tetapi komuniti kecil guru-guru dan murid-murid sekolah menyanjung dan menghormati guru ini kerana keberaniannya meletakkan fokus pada apa yang berhak, iaitu murid-murid. Guru ini juga tidak lokek membantu guru-guru muda dari segi memberi bimbingan tentang teknik P&P yang berkesan. Bagi guru muda seperti saya, inilah guru dalam erti kata sebenar.

Bagaimana boleh berlaku, dalam Kementerian Pelajaran Malaysia, guru yang pandai mengajar diketepikan berbanding guru yang hanya pandai menaip dan mengemas fail? Di manakah profesionalisme guru? Bagi saya, seorang guru itu profesional jika dia pandai mengajar kerana itulah sebenarnya tugas hakiki seorang guru. Tapi hari ini, guru yang membuat kerja yang betul tidak diberi penghargaan sepatutnya, dan guru yang tidak pandai mengajar pula yang diletakkan di tempat tinggi, diberi elaun, kuasa dan jawatan. Bagaimanakah guru-guru yang setiap hari berhempas-pulas dengan murid di dalam kelas hendak menghormati pentadbir mereka yang tidak pandai mengajar pun?

Malah, pentadbir itu pula yang akan duduk di belakang kelas menilai sama ada guru lain pandai mengajar atau tidak. Hanya kerana mereka pentadbir, mereka ada kuasa memberi markah. Tapi mereka menjadi pentadbir bukan kerana mereka pandai mengajar, tapi pandai membuat kerja lain selain mengajar. Bagaimanakah pentadbir sekolah seperti ini layak menuntut penghormatan daripada warga guru? Saya pernah melihat seorang pengetua sekolah yang diletakkan mengajar hanya dua waktu seminggu, terpaksa meminta guru lain mengambil alih kelasnya kerana dia terlalu kerap keluar dan tidak ada di sekolah.

Jika hari ini masyarakat melihat guru sebagai tidak professional, itu ialah kerana hampir semua guru terpaksa membuat kerja menaip dan mengemas fail, suatu kerja yang boleh dibuat oleh budak lepasan SPM.

Jika hari ini masyarakat melihat guru tidak berilmu, ia adalah kerana guru asyik mengisi borang, bukan mengisi dada dengan ilmu.

UMO

Read more...

Cemerlang bukan hanya dapat A

SAYA tertarik dengan pandangan yang dikemukakan oleh Profesor Rosnani Hashim dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkenaan isu pencapaian Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang dibandingkan antara pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) dengan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang berlaku sekarang.

Juga cadangan menghantar guru Melayu dari SK untuk ‘belajar’ daripada guru Cina dari SJKC kaedah mengajar Matematik dan Sains yang dikatakan lebih baik.

Keputusan UPSR baru-baru ini perlulah dianalisis secara lebih mendalam, bukan sahaja ke atas angka-angka yang terbit daripadanya, tetapi juga perlu dilihat dari aspek falsafah dan hasil yang ingin dicapai.

Perlu ditekankan, hari ini pelajar diasak dengan tekanan berapa banyak A diperoleh daripada peperiksaan. Pelajar yang mendapat lebih banyak A dianggap lebih cerdik, bergeliga dan menjadi kebanggaan. Sebaliknya mereka yang mendapat kurang A dianggap tidak baik dan dipandang rendah.

Benar, sepintas lalu mereka yang mendapat lebih banyak A adalah lebih baik berbanding yang mendapat kurang A. Tetapi apakah itu matlamat akhir kurikulum pendidikan kita dan bertepatan dengan Dasar Pendidikan Nasional?

Perlulah diinsafi, dengan cabaran globalisasi dunia hari ini, pelajar bukan sahaja perlu dilengkapkan dengan kepandaian intelektual (melalui A dalam peperiksaan) tetapi juga seimbang dengan kemahiran insaniah yang meliputi aspek kemanusiaan lain.

Antaranya seperti kerjasama, toleransi, semangat setiakawan, kekitaan, hormat kepada orang lebih tua dan pemberi ilmu. Apabila berjaya kelak, mereka akan menjadi warga yang cintakan negara, tidak mengkhianati bangsa dan bersama-sama membantu membangunkan negara. Namun elemen itu dilihat semakin kurang ditekankan demi mengejar bilangan A dalam peperiksaan.

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan oleh Prof. Rosnani, generasi yang bagaimana ingin dilahirkan oleh kerajaan. Adakah generasi bijaksana (berdasarkan kecemerlangan peperiksaan) tetapi gagal menjadi insan syumul? Ataupun generasi yang cemerlang bukan sahaja dari aspek akademik malahan sempurna nilai insaniah mereka? Konsep keseimbangan ini amat perlu direnung kerana kita tidak mahu melahirkan generasi robotik yang mementingkan diri sendiri sahaja kerana negara akan rugi kemudian hari.

Kurikulum pendidikan di SJKC memang menitikberatkan latih tubi dan banyak masa diperuntukkan untuk itu. Sebagai korban, masa untuk pengajaran Bahasa Malaysia, Pengetahuan Sivik dan Tatasusila serta Sejarah dikurangkan.

Selain itu, jika dilihat secara umum taburan SK dan SJKC, kebanyakan SK terletak bukan di kawasan bandar (kerana demografi masyarakat Melayu adalah di kawasan kampung) berbanding SJKC yang banyak bertaburan di kawasan bandar. Dari situ, perbezaan demografi dan infrastruktur telah jelas menyebelahi SJKC.

Pola perbezaan ini menyumbang kepada keberkesanan pelajaran. Hasilnya, lahirlah sepasukan pelajar baru masuk ke universiti yang tidak pandai untuk berkomunikasi dengan baik dalam bahasa kebangsaan (malah dalam bahasa Inggeris juga), tidak pandai bergaul dengan rakan sekuliah (melainkan rakan sebangsa sendiri sahaja) dan tidak menghormati pensyarah.

Mereka juga didapati kurang kemahiran berfikir dengan kritis apabila timbul persoalan yang memerlukan jawapan berdasarkan idea dan intelektual pelajar. Sebaliknya, apabila disoal dengan soalan langsung daripada buku, mereka dapat menjawab dengan cemerlang. Dari situ, dapat disimpulkan pelajar kita hari ini adalah ibarat sepan, hanya menyerap ilmu yang diberi sahaja dan mengeluarkannya kembali dalam dewan peperiksaan tetapi gagal mengembangkan idea daripada asas ilmu yang diberikan.

Cadangan daripada Prof. Rohani agar gagasan dan idea baru yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan berkaitan dengan pendidikan perlulah dirujuk kepada pakar, ada benarnya. Ini kerana merekalah kelompok cerdik pandai yang tahu dengan lengkap ruang lingkup dan cara bagaimana ingin mencanai pelajar agar menjadi bukan sahaja generasi berilmu, tetapi yang lebih penting berakhlak, beragama dan mempunyai kemahiran insaniah yang tinggi. Dan menghantar guru dari SK yang rata-ratanya guru Melayu ke SJKC yang rata-ratanya bukan Melayu bukan sahaja tidak perlu malah ia difikirkan tidak menyelesaikan masalah sebenarnya.

UMO

Read more...

Calon SPM boleh ambil 12 subjek

PUTRAJAYA: Kabinet bersetuju membenarkan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengambil tambahan dua subjek, tetapi keputusan keseluruhan hanya dikira berdasarkan 10 mata pelajaran utama.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Kabinet membuat keputusan itu selepas mengambil kira rayuan yang dikemukakan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam yang mewakili banyak pihak.

"Secara dasarnya, 10 subjek utama itu kekal, tapi kita beri kelonggaran kepada pelajar... mereka boleh membuat opsyen sama ada nak ambil Bahasa Cina atau Tamil, Kesusasteraan Cina atau Kesusasteraan Tamil.

“Mereka boleh ambil 12 atau 11 subjek tetapi itu tidak mengambil kira dalam perkara 10 subjek asas dan elektif,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tanah Negara di sini, petang semalam.

Jun lalu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, mengumumkan bahawa pelajar hanya dibenarkan mengambil maksimum 10 mata pelajaran bagi SPM bermula tahun depan.

Kelmarin, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimud-din Mohd Dom dilaporkan berkata sekolah dicadang mengeluarkan sijil khas mengiktiraf pencapaian pelajar dalam subjek tambahan yang diambil apabila peperiksaan SPM dihadkan kepada 10 subjek.

Alimuddin berkata, menerusi pelaksanaan langkah itu, guru menilai kemampuan pelajar dalam subjek tambahan diambil dan sekolah mengeluarkan sijil berdasarkan laporan penilaian itu.

Muhyiddin berkata, pengambilan subjek tambahan itu membolehkan pelajar menggunakan keputusan yang diperoleh, seperti untuk menjadi guru bahasa Tamil.

Beliau bagaimanapun berkata, keputusan mata pelajaran tambahan itu tidak akan diambil kira dalam pemberian biasiswa dan sebagainya.

BHO

Read more...

Gelaran 'guru semberono' jejas kewibawaan pendidik

APABILA istilah 'guru semberono' diperkenalkan oleh Timbalan Menteri Pelajaran bagi menangani kes guru mengajar sambil lewa, satu perkara yang jelas terasa oleh pendidik ialah usaha mereka selama ini untuk membangun dan membina modal insan sejajar dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara seolah-olah seperti terhenti sekejap.

Mereka seperti berfikir selepas sekian lama ramai murid yang dididik. Ada yang sudah menjadi menteri, pengurus, profesional dan sebagainya. Tiba-tiba mereka dilabel semberono. Kenapa mereka yang sudah berjaya mudah lupa kepada jasa guru yang pernah mengajar mereka kenal huruf, kira dan baca? Inikah cara menghargai guru mereka?

Ibarat cubit peha kanan, peha kiri terasa juga. Saya bimbang jika istilah guru semberono ini dijadikan bahan lawak jenaka oleh pihak tertentu, maka dikhuatiri akan menurunkan lagi penghormatan orang terhadap profesion perguruan yang sangat mulia itu.

Maka akan timbullah pula istilah menteri semberono, ketua jabatan semberono, pegawai semberono dan pelbagai lagi semberononya.

CM REDZA,
Jelebu,
Negeri Sembilan.

BHO

Read more...

Pendidik tak wajar lakukan tugas pentadbiran

SAYA merujuk kenyataan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Md Dom yang menyarankan supaya guru menerima saja tugasan yang diberi kerana ia akan membentuk sikap bertanggungjawab dan dedikasi kepada tugas sebagai pendidik.

Sebagai guru, saya percaya semua guru bersetuju dengan pandangan beliau. Pendedahan kepada pelbagai bidang tugas memang satu nilai tambah kepada modal insan guru. Namun begitu, saya berpendapat, sebagai Ketua Pengarah Pelajaran, beliau patut sudah mengetahui mengenai bebanan tugas guru yang sudah menyebabkan hampir 80 peratus guru hilang fokus, masa dan tenaga yang sepatutnya ditumpukan kepada tugasan sebenar, iaitu mengajar di dalam kelas.

Perkara ini jika berlarutan, kalau ditambah bilangan guru sepuluh kali ganda pun, tapi kalau semuanya hendak buat kerja pentadbiran, memang tidak berubah keadaan sekolah kita. Inilah yang menimbulkan rungutan guru.

Apabila proses pengajaran dan pembelajaran terganggu, murid ketinggalan dalam akademik dan menimbulkan masalah disiplin. Kemudian ibu bapa pula merungut. Padahal sebagai guru, kita sudah melakukan apa yang termampu dalam masa dan tenaga yang terhad.

Tugas perkeranian ini bukan saja sudah menyebabkan tumpuan kepada bidang akademik terganggu, malah ia mengelabui mata pentadbir dalam bidang pendidikan juga, bermula dari pentadbir sekolah, sehinggalah ke peringkat jabatan pelajaran negeri-negeri.

Malah, pada pendapat saya, pelantikan Ketua Pengarah Pelajaran daripada kalangan guru yang juga orang akademik (yang akhirnya terpaksa duduk di pejabat membuat tugasan pentadbiran) ialah bukti bagaimana fokus kepada akademik dilonggarkan.

Kenapa tidak kita berikan kerja pentadbiran kepada orang pentadbiran, dan kita orang akademik, buatlah kerja akademik.

AKMAL FAIRUZ,
Institut Perguruan Bahasa Antarabangsa (IPBA)
Lembah Pantai,
Kuala Lumpur.

BHO

Read more...

Ke arah minda kelas pertama

Thursday, December 3, 2009

TAWAU: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam melancarkan dokumen Standard Guru Malaysia (SGM) sebagai usaha berterusan untuk meletakkan sistem pendidikan negara setara dengan piawaian global dan melahirkan modal insan berminda kelas pertama dalam kalangan rakyat Malaysia.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata berdasarkan dokumen berkenaan, semua guru diperlukan memiliki tiga aspek amalan nilai iaitu profesionalisme keguruan, pengetahuan serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang tinggi.

“Ketiga-tiga aspek ini merupakan komponen penting standard guru yang mesti dicapai oleh setiap guru di negara kita,” katanya.

Muhyiddin berkata, bahawa hanya dengan memiliki ketiga-tiga komponen penting itu, guru-guru dapat mencapai tahap kompetensi yang tinggi dan sekaligus melaksanakan tugas dengan berkesan.

“Saya percaya bahawa Standard Guru Malaysia akan menjadi sumber rujukan yang penting bukan sahaja untuk menghasilkan guru yang kekal berkualiti tetapi juga menambah baik dasar, perancangan dan pembangunan sistem pendidikan negara,” katanya.

Muhyiddin turut merasmikan Institut Pendidikan Guru Malaysia kampus Tawau berharga RM87 juta.

Beliau berkata, bahawa dalam usaha kerajaan untuk memastikan standard guru di negara ini mencapai standard yang ditetapkan, aspek latihan dan perkembangan profesionalisme guru perlu diberi perhatian utama.

Timbalan Perdana Menteri meminta semua institusi latihan perguruan di negara ini supaya terus menggembeleng tenaga untuk menyediakan program latihan perguruan berkualiti di samping sentiasa menambah baik baik infrastruktur dan infostruktur sedia ada secara berterusan.

Katanya, semua warga pendidik terdiri guru, guru besar, pengetua dan pengurus serta pentadbir institusi latihan perguruan, mesti mengguna pakai garis panduan yang telah ditetapkan dalam dokumen SGM untuk memastikan kualiti pendidikan negara dapat ditingkatkan secara berterusan.

Bercakap kepada pemberita kemudian Muhyiddin berkata Malaysia mahu menjadi antara negara terbaik di dunia dalam bidang pelajaran. - Bernama

HM

Read more...

Kecualikan pinjaman perumahan kakitangan sakit - CUEPACS

Monday, November 23, 2009

KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan akan dapat mengecualikan bayaran pinjaman perumahan bagi penjawat awam yang sakit sewaktu dalam perkhidmatan.

Setiausaha Agungnya, Ahmad Shah Mohd. Zin berkata, pada masa ini hanya mereka yang membuat pinjaman selepas 1 Ogos 1995 tidak perlu membayar baki pinjaman sekiranya mereka tidak dapat berkhidmat kerana sakit.

Katanya, petugas yang membuat pinjaman sebelum tarikh berkenaan terpaksa meneruskan bayaran pinjaman kerana polisi insurans mereka hanya meliputi kematian dan kebakaran tetapi bukan hilang upaya kekal.

"Ini bermakna penjawat awam tidak perlu menjelaskan baki pinjaman sekiranya mereka meninggal dunia atau rumah mereka terbakar tetapi bukan sekiranya mereka hilang upaya untuk bekerja kerana sakit," katanya.

Atas sebab itu, menurut beliau, kira-kira 50,000 petugas awam dipercayai kini menghadapi keadaan sukar. - Bernama

KO

Read more...

Seminar perkasa BM

Wednesday, November 18, 2009

KUALA LUMPUR: Sebagai langkah memperkasakan Bahasa Malaysia ke peringkat global, satu Seminar Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu kelima diadakan di Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, semalam.

Bertemakan Pemerkasaan Bahasa Melayu dalam Pembinaan Sahsiah dan Jati Diri Negara Bangsa, langkah itu diharap dapat mengembalikan semula bahasa Melayu sebagai ‘lingua franca’ yang semakin dilupakan.

Majlis yang turut mendapat kerjasama Jabatan Bahasa Melayu Fakulti bahasa Moden, Universiti Pendidikan Malaysia (UPM) dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu dirasmikan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Puad Zarkashi.

Turut hadir Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz.

Dr Puad dalam ucapannya berkata, penguasaan Bahasa Melayu semakin berkurangan terutama di kalangan generasi muda mahupun golongan pertengahan kerana mereka lebih suka menggunakan Bahasa Inggeris dalam perbualan harian mahupun ketika mengadakan mesyuarat.

“Dalam sejarah kewujudannya selama 2000 tahun, bahasa Melayu mengalami enam peringkat evolusi daripada bahasa purba hingga ke bahasa elektronik, namun gelombang globalisasi dan ledakan teknologi membawa kepada perubahan perspektif masyarakat seterusnya membuka ruang untuk tidak menggunakan bahasa itu.

“Untuk mengembalikan semula penggunaan bahasa ini, kita memerlukan komitmen yang tinggi daripada pelbagai agensi sama ada kerajaan mahupun swasta bagi membudayakan semula bahasa ini daripada terus dipandang sepi,” katanya.

HM

Read more...

Igauan hukum pelajar

Thursday, November 12, 2009

KULIM: Seorang guru lelaki di Paya Besar, dekat sini, kini hidup dalam ketakutan selepas cermin keretanya dipecahkan, awal pagi Jumaat lalu, dipercayai angkara pelajar sekolahnya yang tidak berpuas hati akibat dikenakan tindakan disiplin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, cermin belakang kereta Proton Saga miliknya yang diletakkan di depan rumah pecah dipercayai dibaling dengan batu oleh pelajar terbabit.

Guru berusia 46 tahun dan enggan dikenali itu berkata, kejadian itu disedari isterinya kira-kira jam 8 pagi apabila hendak menghantar anak perempuan mereka ke kelas tuisyen.

“Ketika kejadian saya sedang tidur dan hanya isteri yang mendengar bunyi tingkap kereta dipecah, tetapi dia tidak menghiraukannya kerana sudah terlalu lewat.

“Apabila dimaklumkan isteri pada pagi itu, saya terkejut apabila mendapati cermin belakang kereta pecah dan saya juga menemui dua ketul bata berhampiran kereta yang dipercayai diguna untuk memecahkan cermin kereta berkenaan,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Katanya, dia percaya kejadian itu ada kaitan dengan tindakannya menghukum beberapa pelajar sekolah menengah tempatnya mengajar di sini, Khamis lalu.

“Pada hari yang sama, beberapa remaja bermotosikal lalu di depan rumah saya sambil memanggil nama saya serta mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah.

“Mereka juga membuat bising di depan rumah tetapi saya sukar mengecam kerana mereka bertopi keledar,” katanya.

Guru itu berkata, sejak kejadian itu dia bimbang dengan keselamatan keluarganya terutama isteri dan seorang anak perempuannya.

Berikutan itu, dia membuat laporan polis di Balai Polis Lunas, dekat sini, pagi Jumaat lalu.

Katanya, dia tidak sangka niat baiknya untuk mendisiplinkan pelajar terbabit kini menjadi satu igauan.

apabila dia serta keluarganya menerima ancaman daripada mereka.

HM

Read more...

About This Blog

Blog ini merupakan himpunan berita, pendapat dan komen berkenaan dunia pendidikan yang diperolehi daripada pelbagai sumber samada yang diperolehi secara langsung atau secara tidak langsung. Ketelusan dalam bahan yang diperolehi adalah menjadi teras kepada blog ini. Blog ini mungkin menjadi bahan rujukan kepada pihak yang ada kaitan dengan bidang pendidikan samada guru, pelajar, ibubapa dan sebagainya.

Recent Posts

Recent Comments

  © Blogger template Newspaper by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP